Daisypath - Personal pictureDaisypath Wedding tickers

Saturday, September 21, 2019





TIPS UNTUK IBU BAPA MENJELANG PEPERIKSAAN UPSR
Amalan ini boleh dilakukan oleh ibu bapa khususnya untuk anak-anak yang akan menduduki peperiksaan UPSR  yang berbaki lebih kurang 40  hari lagi.  Amalan ini merupakan perkongsian dari seorang rakan guru. Diharapkan perkongsian ini akan memberikan manfaat kepada semua ibu bapa sebagai salah satu ikhtiar untuk anak tersayang.

SEBELUM PEPERIKSAAN
1)      Persiapkan mental dan fizikal anak
-          Dari awal tahun, ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak-anak bahawa mereka akan menghadapi peperiksaan penting yang akan mengukur sejauh mana penguasaan anak-anak sepanjang tempoh pembelajaran mereka di sekolah
-          Walau sesibuk manapun ibu bapa dengan urusan kerja, jangan pernah sesekali terlepas untuk menyemak beg sekolah, tugasan anak,keperluan alat tulis, pakaian dan kebersihan diri anak-anak SEBELUM mereka ke sekolah. Berapa ramai ibu bapa yang membiarkan anak-anak ke sekolah dengan keadaan tidak bersedia, tiada peralatan yang cukup, berkuku panjang dan berpakaian comot. 
-          Bagi yang berkemampuan, boleh hantar anak-anak untuk menghadiri seminar, bengkel dan kelas tambahan. Jika tak berkemampuan, boleh dapatkan bantuan kelas tambahan secara percuma terutamanya yang disediakan di sekolah. Pantau juga pembelajaran anak-anak di kelas tambahan.
-          Sediakan buku kerja, buku latih tubi. Boleh juga muat turun dan cetak set-set soalan model, soalan ramalan dan koleksi kertas peperiksaan sebenar.
-          Sentiasa memberikan sokongan moral kepada anak-anak.
-          Lahirkan persekitaran rumah dan emosi yang kondusif untuk anak-anak
-          Jadikan solat Hajat, solat Dhuha, sedekah dan membaca Al-Quran sebagai rutin harian
-          Menjelang malam sebelum peperiksaan, ibu bapa seharusnya membuat checklist atau senarai semak kelengkapan alat tulis. Sebaik-baiknya, ibu bapa menyediakan peralatan alat tulis ‘’extra’’ sebagai persediaan sekiranya kehilangan atau rosak.
-          Sebelum anak-anak masuk ke perkarangan sekolah, ibu bapa boleh amalkan langkah-langkah berikut.

1)      Surah Al-Fatihah
2)      Selawat
3)      Subhanallah
4)      Alhamdulillah
5)      Allah hu Akbar
6)      Ya Hayyu Ya Qayyum


Ya Allah, fahamkanlah dia terhadap agama dan ajarkanlah (ilmu) tafsir kepadanya”


7)      Hantar setiap langkah kaki anak dengan iringan doa. Doakan anak menjadi seorang anak yang soleh, berjaya di dunia dan akhirat serta berbakti kepada agama, bangsa dan Negara.

SEMASA PEPERIKSAAN
-          Pastikan ibu bapa mempunyai jadual peperiksaan anak-anak. Semak jadual peperiksaan anak.
-          Bacakan surah yassin dan tunaikan solat hajat sepanjang tempoh anak-anak menduduki peperiksaan.
-          Semasa berdoa, mohon bersungguh-sungguh supaya Allah menenangkan hati dan melapangkan fikiran anak-anak untuk menjawab. Dikurniakan buah fikiran yang bernas dan sentiasa tenang menduduki peperiksaan.



SELEPAS PEPERIKSAAN
-          Pastikan semasa menjemput anak pulang dari menduduki peperiksaan, elakkan terus bertanya dengan anak tentang soalan peperiksaan yang TELAH pun diduduki. Tenangkan fikiran mereka dan teruskan beri kata-kata semangat untuk anak-anak menduduki peperiksaan seterusnya. Hal ini untuk mengelakkan anak berasa tertekan sekiranya mereka ada menghadapi kesulitan ketika menjawab soalan peperiksaan sebelumnya.
-          Setelah anak berjaya menduduki keseluruhan peperiksaan, tidak seharusnya segala amalan yang dilakukan terhenti begitu sahaja.Malahan, ibu bapa hendaklah berterusan mengamalkan solat hajat dan melipatgandakan lagi doa supaya dilembutkan hati dan diberikan ketenangan kepada pemeriksa kertas. Sedekahkan juga Al-Fatihah untuk para pemeriksa kemungkinan dengan asbab amalan kita ini, Allah melembutkan hati para pemeriksa, diberikan kemudahan dan ketenangan semasa menanda seterusnya mempunyai belas kasihan semasa memeriksa skrip jawapan anak-anak kita nanti. In Shaa Allah.