Isu Dan Cabaran Penggunaan ICT dalam Pengajaran & Pembelajaran di
Sekolah
Oleh : Isma Hazwani binti Ismail
Seiring dengan perkembangan dunia
semasa, Malaysia tidak ketinggalan menerapkan aplikasi penggunaan ICT dalam
segenap aspek kehidupan. ICT merujuk
kepada Information And Communication
Technologies. ICT telah digunakan secara meluas dalam aspek ekonomi,
sosial, pentadbiran mahupun pendidikan. Tidak dapat tidak, warga pendidik perlu
mengaplikasikan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran sejajar dengan
perkembangan semasa serta menyahut seruan bagi merealisasikan pembelajaran abad
ke-21 (PAK-21). Setiap anjakan perubahan yang dilakukan semestinya berdepan
dengan isu dan masalah yang perlu diselesaikan secara bersama dan tidak dapat
dinafikan, wujud masalah-masalah dalam pengaplikasian penggunaan ICT dalam
pengajaran dan pembelajaran di Malaysia setelah sekian lama. Namun, kerajaan
Malaysia khasnya Kementerian Pelajaran Malaysia telah berusaha dan mencari solusi
bagi mengatasi masalah-masalah yang timbul.
Masalah utama yang wujud adalah kurangnya
tenaga pengajar iaitu warga pendidik yang mahir menggunakan alatan ICT.
Generasi yang lahir sebelum era 1970-an dikatakan kurang cekap mengendalikan
peralatan-peralatan ICT. Hal ini sangat berbeza dengan generasi selepas era
1990-an yang dibesarkan dalam zaman revolusi dan reformasi teknologi. Mereka
ini sangat cekap dan berpengetahuan luas dalam mengikuti arus perubahan dalam penggunaan ICT. Kontradiksi ini dilihat
ketara kerana masih terdapat guru yang tidak tahu menggunakan komputer untuk
memasukkan data atau masih terkial-kial untuk menggunakan perisian komputer Microsoft Word dan Microsoft Excel
sedangkan dunia pendidikan semakin lama
semakin berkembang selaras dengan kemajuan teknologi maya. Kelemahan sebilangan guru
ini menyebabkan usaha kerajaan untuk mengaplikasikan ICT dalam pengajaran dan
pemudahcaraan tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Justeru itu, kerajaan mengambil langkah memberi latihan
intensif kepada guru-guru menerusi program dan kursus khas yang dijalankan.
Melalui program Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP), guru-guru diberi taklimat
khas dan hands-on penggunaan ICT
dalam pengajaran dalam pembelajaran pelajar oleh tenaga pengajar yang terlatih.
Semasa LDP, guru-guru ini diajar mengenai penggunaan Microsoft Word, Microsoft Excel, pengurusan emel, blog dan
sebagainya yang berkaitan. Kursus-kursus khas seperti ini memakan belanja dan
kos yang tinggi. Maka, pihak kementerian menyarankan guru-guru mengambil
inisiatif sendiri untuk membiasakan diri dengan penggunaan ICT.
Selain daripada itu, penggunaan ICT
dalam pengajaran dan pembelajaran di Malaysia dikatakan meluaskan lagi jurang
perbezaan pelajar bandar dan luar bandar. Pelajar di luar bandar kurang
terdedah kepada gajet-gajet ICT dalam kehidupan seharian mereka. Hal ini
menyebabkan kesukaran pihak guru untuk menggunakan ICT dalam pengajaran dan
pembelajaran. Kebanyakan program pendidikan yang dibangunkan dalam bentuk ICT
harus digunakan secara dua hala, iaitu memerlukan interaksi balas daripada
pelajar. Namun, hal ini tidak dapat dilaksanakan jika pelajar tidak tahu dan
takut menggunakan gajet ICT. Kerajaan telah mengambil langkah menambah
makmal-makmal komputer di sekolah di seluruh negara untuk melatih pelajar
menggunakan komputer sejak usia pujuk, sekaligus merapatkan jurang pelajar
bandar dan luar bandar. Usaha kerajaan memperbanyak komputer di makmal komputer
sekolah juga melibatkan kos dan komitmen yang tinggi. Di samping itu, masalah
keterbatasan liputan dan capaian internet menyukarkan lagi guru dan murid di
luar bandar untuk mengakses internet. Hal ini akan membataskan sumber-sumber
pencarian bahan pengajaran dan pemudahcaraan.
Apabila guru yang tidak cekap
menggunakan peralatan ICT seperti pemancar LCD dan laptop, perkara ini akan
menimbulkan masalah. Sesetengah guru yang tidak cekap mengambil masa yang lama
untuk menyediakan peralatan sebelum memulakan proses pengajaran. Akibatnya,
masa di bilik darjah terbazir begitu sahaja memandangkan guru berkenaan
mengambil masa yang terlalu lama serta terkial-kial menggunakan peralatan ICT
yang disediakan pihak sekolah. Perihal seumpama ini lah yang menyebabkan
guru-guru berpatah arang untuk menggunakan kemudahan-kemudahan ini kerana bagi
mereka, masa dan tenaga banyak dibazirkan untuk membuat persediaan berbanding
dengan kaedah tradisional iaitu ‘’ Chalk and Talk’’. Ironinya, guru-guru ini
pula seakan memperkecilkan usaha rakan-rakan yang cuba untuk berjinak-jinak
dengan pedagogi terkini. Tepuk dada tanya selera!
Isu penyalahgunaan makmal komputer
dan internet percuma di sekolah turut diperkatakan. Guru-guru dan pelajar
didapati menyalahgunakan kemudahan internet di sekolah untuk melayari laman web
yang tidak berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran seperti laman sosial Facebook, Instagram dan sebagainya.
Malah ada juga guru yang tidak segan silu menjalankan perniagaan atas talian
walaupun sedang dalam waktu bertugas di sekolah. Penyalahgunaan seperti ini dibimbangi mampu menjejaskan
prestasi kerja guru sekaligus memberikan kesan terhadap kualiti pengajaran dan
pemudahcaraan.
Justeru, beberapa isu yang timbul
ini hendaklah diberikan perhatian oleh penggubal dan pelaksana dasar supaya
hasrat yang diinginkan bagi memantapkan pedagodi guru serta kualiti sistem
pendidikan negara dapat direalisasikan.