Daisypath - Personal pictureDaisypath Wedding tickers

Monday, May 27, 2019

Cyber Bullying...Jenayah Teknologi Moden



Buli siber atau cyber bullying semakin berleluasa dewasa ini, seiring perkembangan dan kecanggihan  teknologi semasa.  Saban hari, kita mendengar beberapa isu yang menjadi tular atau ‘viral’ dalam sekelip mata sehinggakan banyak kes jenayah yang diberikan keutamaan dan dapat diselesaikan dengan pantas  oleh pihak penguasa ekoran dari perkongsian video tular ini. Dari aspek positif, video-video sebegini sangat membantu pihak berkuasa melakukan tanggungjawab mereka dengan pantas. Walaubagaimanapun, dari sisi negatifnya pula, video-video tular yang mendedahkan dan menyingkap kejelikan individu sangat tidak patut ditonton mahupun dikongsi sehingga menjadi tular kerana ia akan mengaibkan mangsa. Perkara seumpama ini tidak seharusnya dipandang sepi dan perlu dikawal dalam masyarakat kita.   
Dr Harjeet Kaur a/p Basant Singh mengatakan buli siber  adalah satu kejadian yang biasa berlaku dan kian meningkat. Insiden sebenar kejadian buli siber tidak diketahui kerana ramai mangsa buli siber menganggap hal ini adalah remeh. Malah, ada antara mereka yang terus memendam rasa rentetan dari kes buli siber ini.Perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti mesej teks (SMS), chatting, e-mel, laman web sosial, telefon bimbit atau permainan internet dianggap sebagai buli siber.
Buli siber terbahagi kepada beberapa jenis, antaranya mangsa menerima mesej yang mengganggu dan mengancam, berkongsi e-mel, foto atau video yang mengaibkan mana-mana pihak kepada orang lain. Memberi komen yang tidak senonoh atau menguris hati individu lain juga dianggap sebagai buli siber.  
Perbuatan buli siber lebih dahsyat daripada perbuatan membuli yang lain kerana rata-rata pembuli siber bersembunyi di sebalik identiti sebenar mereka. Pembuli siber tidak seperti pembuli yang lain kerana ia berlaku dalam dunia siber yang tidak bersempadan. Pembuli siber lebih mudah bersekongkol berbanding pembuli jenis lain kerana bilangan individu yang boleh turut serta tidak dihadkan dalam dunia siber. Di samping itu, buli siber juga boleh berlaku tanpa keterbatasan waktu iaitu 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun. Cuba anda bayangkan sekiranya sesuatu ‘posting’ itu ditularkan di media sosial dan memalukan mangsa hampir seumur hidupnya. Bukankah itu sangat dahsyat? Maka, tidak hairanlah sekiranya mangsa buli siber mengalami depresi yang sangat teruk dan ada antara mereka bertindak membunuh diri kerana tidak mampu lagi menanggung tekanan jiwa dan perasaan setiap hari.
Justeru, pihak berwajib seharusnya membanteras permasalahan ini menerusi jaringan keselamatan internet. Anak-anak juga seharusnya dididik tentang keselamatan internet dan etika melayari internet atau menggunakan telefon yang betul.
·         Jangan kongsi butiran peribadi anda di internet.
·         Awas! Nada dan makna mesej yang ditulis boleh disalah tafsir.
·         Menghantar atau memanjangkan mesej yang kesat atau berunsurkan ancaman adalah tidak wajar dan boleh menyalahi undang-undang.

Apakah tanda-tanda buli siber?
Tanda-tanda buli siber termasuklah:
·         Mengalami tekanan emosi semasa atau selepas menggunakan internet.
·         Mengasingkan diri dari rakan-rakan dan ahli keluarga.
·         Menjauhkan diri dari perhimpunan sekolah atau kumpulan.
·         Keciciran gred dan mudah marah apabila berada di rumah.
·         Mengalami perubahan emosi, tingkah laku, tidur, atau selera makan.
·         Mahu berhenti menggunakan komputer atau telefon bimbit.
·         Kelihatan gelisah apabila mendapat mesej teks atau e-mel.
·         Mengelakkan perbincangan mengenai aktiviti komputer atau telefon bimbit.

Sekiranya anda adalah mangsa buli siber
·         Bincang dengan ibubapa anda, kaunselor sekolah atau guru.
·         Simpan e-mel, mesej atau imej buli sebagai bahan bukti.
·         Jangan balas mesej teks atau e-mel buli.


No comments:

Post a Comment